Jurulatih pecut negara, M. Balamurugan, meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjalankan siasatan adil apabila memanggil atlet dan seorang jurulatih berprofil tinggi menemui jawatankuasa siasatan kes doping esok.

Kebimbangan dalam kalangan pengendali olahraga negara kini menimbulkan persoalan adakah jurulatih itu mendapat pembelaan sewajarnya?

Ia susulan dakwaan pelari berusia 17 tahun terbabit bahawa jurulatih itu yang memberinya makanan tambahan yang mengundang kepada diuji positif bahan terlarang jenis steroid.

Soalnya, adakah dakwaan itu disusuli bukti, sekali gus meningkatkan kebimbangan dalam kalangan jurulatih tempatan mengenai hak mereka.

"Dalam perkara ini, atlet perlu bercakap benar. Ia tanggungjawab sendiri. Ujian sudah dibuat, mereka dikesan positif dan ubat yang tidak diraih di Malaysia. Itu bahan yang dilarang, jadi diharap atlet itu bercakap benar. Tugas jurulatih hanya melatih atlet, jadi jangan memburuk-burukkan mereka," kata Balamurugan.

KOM akan memanggil beberapa individu untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai kes doping itu esok.

Ia kes pertama sejak seorang pelari kuartet 4x400 meter negara positif doping ketika Sukan SEA Indonesia 2011.



Editor: Nafis Abdullah