Bagus, cuma perlu ditambah baik -- Tunku Imran

Oleh Bernama 20 April 2018 333
Bagus, cuma perlu ditambah baik -- Tunku Imran
Program Podium merupakan satu program yang bagus dan perlu dikekalkan dengan penambahbaikan, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Katanya, program itu juga memerlukan masa untuk membuahkan hasil yang diinginkan. 

“Program Podium ini baru sahaja berusia dua tahun. Untuk lahirkan juara ambil masa yang lama, bukan dalam tempoh semalaman,” katanya yang ditemui selepas penyerahan obor bagi temasya Asia Pacific Masters Games (APMG) di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Tunku Imran yang merupakan duta APMG, berkata beliau percaya lebih ramai atlet muda yang mempamerkan prestasi tinggi serta berpotensi untuk meraih pingat dapat dilahirkan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mengenai prestasi atlet di bawah program itu dalam Sukan Komanwel Gold Coast, Australia yang baru berakhir Ahad lalu, Tunku Imran berkata Institut Sukan Negara (ISN) selaku pengendali program akan menilai semula atlet terbabit.

“Mereka (ISN) akan melihat semula prestasi atlet terbabit dan tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan atlet daripada program berkenaan,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad, sebelum ini dilapor menyarankan agar program tersebut diambil alih oleh MSN susulan prestasi tidak memberangsangkan atlet Program Podium di Gold Coast.

Inisiatif Program Podium dilancarkan pada 2015 oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, susulan kegagalan kontinjen Malaysia mencatat keputusan yang baik dalam Sukan Komanwel Glasgow  2014 dan Sukan Asia di Incheon pada tahun sama. -- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen