Jaguh angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar, akan merampas semula tempatnya dalam skuad kebangsaan selepas digugurkan daripada menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 atas faktor disiplin.

Merajuk tiada dalam kamus pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menggugurkan Azroy daripada menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo kerana didakwa enggan mengikut program latihan yang sudah ditetapkan.

Realitinya, Azroy mengalami kecederaan lutut.

"Saya ingin meminta maaf kepada PABM kerana tidak menyertai kejohanan di luar negara. Selepas ini saya akan menjalani latihan seperti biasa dan membantu Aznil Bidin untuk layak ke Sukan Olimpik," kata Azroy.

PABM hanya akan menghantar seorang lagi juara Sukan Komanwel, Aznil, menghadapi Piala Dunia di Fuzhou, China, bermula 20 Februari ini.

Mata kelayakan akan dikumpul untuk menentukan kuota sesebuah negara ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Jika PABM memberikan peluang untuk saya menyertai kejohanan atau latihan di luar negara, saya akan bersedia," ujarnya.