Jaguh angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, bimbang peluangnya memburu pingat Kejohanan Asia, April depan terjejas apabila jurulatihnya, Wang Zhi Quan, belum menandatangani kontrak lanjutan sejak bulan lalu.

Atlet senior angkat berat negara itu kini terpaksa menyertai sesi latihan skuad pelapis di bawah kendalian Nicholas Wong.

Ia ekoran ketiadaan Zhi Quan sejak bulan lalu yang masih menunggu kontrak lanjutan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Masa kian suntuk kerana atlet seperti Azroy dan Aznil Bidin menyasarkan pingat dalam Kejohanan Asia di Ningbo, China, yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Zhi Quan meninggalkan panduan program yang kami perlu patuhi sepanjang sebulan ketiadaannya.

"Selain itu, saya memanfaatkan waktu ini untuk melakukan proses pemulihan kecederaan lutut.

"Saya berharap proses menandatangani kontraknya akan dipercepatkan pihak MSN.

"Saya menyasarkan untuk meraih pingat dalam Kejohanan Asia di China, Kejohanan Dunia di Thailand dan Sukan SEA Filipina, Disember depan," katanya.

Zhi Quan membimbing skuad negara sejak 2013.

Dalam tempoh itu, beliau membantu Mohd Hafifi Mansor meraih pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Dia juga membantu Azroy dan Aznil merangkul emas dalam Sukan Komanwel di Gold Coast tahun lalu.