Atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar, lega apabila misi untuk berlatih di Vietnam sebelum Sukan Komanwel Gold Coast, April depan, terlaksana selepas hampir sebulan menanti.

Setelah melakukan perbincangan bersama pihak Program Podium, mereka akhirnya mencapai kata putus untuk menghantar dua atlet dalam program itu dengan Wafie dan Muhammad Aznil Bidin disenaraikan ke Vietnam minggu depan.

Perancangan ke sana sudah ada sejak tahun lalu sebagai persiapan Sukan Komanwel 2018 dan akan melakukan latihan intensif selama sebulan sebelum terbang ke Australia.

Semestinya ia satu khabar gembira buat pemenang pingat emas Kejohanan Angkat Berat Negara Komanwel 2017 itu kerana sekurang-kurangnya, mereka akan meraih pendedahan berguna di luar negara untuk lebih bersedia beraksi di Gold Coast.

"Saya gembira kerana dapat merasa berlatih di luar. Sebenarnya, tiada masalah berlatih di mana sahaja kerana Sukan Komanwel akan bermula tidak lama lagi, jadi fokus kami adalah latihan.

"Buat masa ini, saya bersama Aznil dan jurulatih sahaja kerana kem MSN ke Indonesia," katanya.

Kecederaan belakang yang dialami Wafie juga sudah pulih sepenuhnya selepas melakukan proses pemulihan bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan dia tidak menjalani latihan yang terlalu berat sepanjang penantiannya untuk ke Vietnam.

"Saya bersyukur kerana ketika ini kecederaan saya telah pulih dan kembali menemui sentuhan lama. Saya mahu memecahkan rekod dalam saingan di Australia nanti," tambahnya.