Badang negara, Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar, tidak akan berputus asa dalam usaha mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 -- walaupun skuad angkat berat kebangsaan digantung daripada menyertai kejohanan antarabangsa selama setahun.

Badang negara itu berdepan tugas sukar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Saingan kelayakan Olimpik akan bermula November depan menerusi Kejohanan Dunia di Turkmenistan, diikuti beberapa saingan awal tahun depan.

Persoalannya, penggantungan skuad negara akan tamat pada 30 Mei 2019, sekali gus menyaksikan mereka akan terlepas beberapa kejohanan kelayakan lain pada awal tahun depan.

"Saya berharap pihak persatuan akan berbincang mengenai penggantungan ini kerana saya berharap dapat beraksi dalam Sukan Asia serta beberapa aksi kelayakan ke Sukan Olimpik 2020," katanya.

Azroy dan seorang lagi pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Mohd Aznil Bidin, adalah prospek terbaik Malaysia layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Azroy kini menghuni ranking ke-12 dunia sementara Aznil ke-33 dan hanya 16 atlet terbaik setiap kategori layak ke Sukan olimpik Tokyo dengan syarat mereka perlu menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan kelayakan.