Ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Azreen Nabila Alias, mahu menjadikan prestasi cemerlangnya sebagai pembakar semangat untuk merebut tempat dalam skuad olahraga kebangsaan ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Kelibat Azreen, 18, di trek olahraga Sukma ternyata sukar digugat apabila memenangi pingat emas serta memperbaharui rekod 100 meter serta dua lagi emas acara 200 meter dan 4x100 meter, sekali gus dijulang selaku Atlet Wanita Terbaik Sukma.

Fokus pelari pecut yang membuat penampilan sulung Sukan SEA pada temasya KL2017 itu kini terarah untuk kembali ke skuad pelapis kebangsaan di Bukit Jalil dengan harapan dapat beraksi dalam edisi berikutnya.

"Satu pingat emas diraih dalam Sukma 2014 menerusi 4x100 meter manakala dalam acara 100 meter, terkandas di separuh akhir. Di Sarawak dua tahun lalu, saya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara 100 meter.

"Jadi, ini adalah pencapaian terbaik dan saya berazam meneruskan latihan dengan lebih keras, seterusnya mencuri tempat ke Filipina dalam acara 100 meter atau 4x100 meter," kata pelari kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Nada sama turut dinyatakan penyumbang tujuh emas daripada sukan berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir, yang mengimpikan kejayaan sama seperti jaguh berbasikal negara, Fatehah Mustapa.

Walaupun lebih dikenali dalam acara ujian masa lebuh raya, pelumba berusia 21 tahun itu mengakui tidak akan menolak sekiranya terpilih ke skuad negara dalam acara trek seperti dibuktikan dengan pungutan pingat di Perak.

Selepas menggondol pingat emas dalam acara keirin, kejar-mengejar individu dan berpasukan, Nur Aisyah turut memenangi emas melalui acara kriterium 50km, ujian masa jalan raya individu 80km, ujian masa berpasukan 30km serta scratch 10km.

Seperti Azreen, pelumba berasal dari Chukai, Kemaman itu turut beraksi dalam temasya KL2017 dan menegaskan keinginannya mewakili negara tidak pernah padam.

"Tamat sahaja KL2017, saya pulang ke Terengganu dan sentiasa menunggu panggilan skuad negara. Andai terpilih, saya akan memberikan yang lebih baik lagi bagi acara kegemaran, iaitu ujian masa," ujar Nur Aisyah.