Atlet angkat berat negara, Aznil Bidin, lega apabila jurulatihnya, Wang Zhi Quan, kembali ke Malaysia untuk mengemudi skuad kebangsaan selepas hampir dua bulan berada di China sebelum bersetuju untuk menyambung kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Zhi Quan pulang ke China, Januari lalu, sebelum kembali ke tanah air Khamis lalu selepas menerima lanjutan kontrak daripada MSN sebagai jurulatih negara.

Aznil menganggap kehadiran semula Zhi Quan tepat pada masanya tatkala dia memerlukan bimbingan lebih mendalam untuk mempersiapkan diri dalam kategori baharu, 61kg, bagi mengharungi Kejohanan Asia bulan depan yang menjadi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kejohanan di China itu penting untuk Aznil mengumpul mata selepas terlepas dua saingan kelayakan bulan lalu kerana masih belum bersedia ekoran ketiadaan jurulatih.

"Saya sedang berlatih mengangkat berat sebanyak 160kg ke atas dalam acara clean and jerk sementara 120kg ke atas untuk snatch.

"Dengan kembalinya jurulatih selain saya beralih kepada kategori baru, selebihnya saya serahkan kepada jurulatih untuk menentukan program kami," katanya.

Selain Kejohanan Asia, Kejohanan Dunia di Thailand, September depan turut menjadi keutamaan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu yang menjadi saingan kelayakan terakhir pada tahun ini.

"Menjelang Kejohanan Asia kali ini, kami hanya mempunyai tempoh sebulan untuk membuat persiapan.

"Tetapi dengan adanya jurulatih, kami sudah bersedia untuk melakukan persiapan habis-habisan untuk Kejohanan Dunia kerana ada tempoh yang panjang," katanya.