Aznil dedah senario sebenar

Oleh Staff Writer 20 Mei 2018 9358
Aznil dedah senario sebenar
Satu lagi pendedahan dibuat susulan kes doping melibatkan tiga atlet angkat berat negara setelah sejenis protein meragukan dikesan dalam asrama penginapan atlet Majlis Sukan Negara (MSN).

Lebih menggemparkan, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Muhammad Aznil Bidin, mengakui bahawa bahan tersebut sudah berada dalam kem latihan skuad kebangsaan sejak awal tahun ini lagi apabila didapatkan secara atas talian.

"Sesetengah atlet pernah saya lihat mendapatkan protein atau bahan sokongan dari luar. Ada yang merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) tetapi bagi sesetengah bahan, saya tidak pasti secara terperinci.

"Saya ada menegur sekiranya mereka bertanya kepada saya," kata Aznil.

Sementara itu, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sudah menguji seramai 18 atlet angkat berat negara dan beberapa ujian lagi akan dijalankan dalam masa terdekat, terutama membabitkan atlet Program Podium.

Ujian itu dijalankan atas arahan MSN selepas tiga atlet berusia 16 hingga 21 tahun didapati positif bahan terlarang jenis stanozolol.

"Saya rasa pada tahun ini sudah ada empat kes dan keempat-empatnya melibatkan bahan yang sama. Jadi, memang terkejut dan sesuatu perlu dilakukan. Perbincangan akan diadakan dengan pihak persatuan.

"Menurut undang-undang Agensi Anti Doping Dunia (WADA) 2015, jika ada mana-mana atlet bawah 18 tahun terlibat dengan isu doping, secara automatik pihak persatuan dan jurulatih boleh disoal siasat. Jadi, memang wujud ruang buat kami untuk menyiasat," ujar penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar.

Kesemua sampel air kencing atlet sudah dihantar ke New Delhi, India dan keputusan dijangka diketahui dalam masa dua minggu lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen