Jurulatih tinju negara, Azmi Md Yunus, berpandangan bahawa anak didiknya, Fuad Redzuan, semakin berada di tahap terbaik bagi membawa cabaran Malaysia dalam Sukan Asia Indonesia, bulan depan.

Fuad menjadi wakil tunggal negara untuk layak beraksi dalam acara tinju Sukan Asia kali ini.

Keretakan tulang di bahagian muka meranapkan impiannya untuk mewakili negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu tetapi kini dia tampil dengan semangat yang lebih tinggi.

Azmi juga menjelaskan bahawa Fuad kurang bernasib baik apabila tersingkir dalam pusingan pertama satu pertandingan di Manado, Indonesia pada awal bulan ini.

Namun, itu bukan gambaran kemampuan sebenar Fuad sambil Azmi merancang untuk membawa anak didiknya itu menjalani satu lagi kem latihan di luar negara sebelum ke Sukan Asia.

"Jika tidak ke mana-mana, pihak persatuan akan cuba mendapatkan tempat pertarungan dalam masa dua minggu kerana di Malaysia, cabaran itu dilihat tidak begitu setara. Ia mungkin melibatkan peninju dari Thailand atau Indonesia," ujar Fuad.

Sementara itu, Azmi kekal yakin peluang Fuad untuk mencapai sasaran ke separuh akhir tetap tinggi walaupun undian bagi acara itu hanya akan diadakan pada 23 Ogos nanti.

Sudah pasti tumpuan lebih diberikan kepada peninju dari negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan serta Thailand tetapi Azmi optimis Fuad mempunyai kualiti tersendiri untuk menyaingi lawan.

"Pertama sekali, kami mengharapkan tuah ketika undian. Diharapkan kami mampu melangkah ke separuh akhir dalam Sukan Asia nanti."