Bekas jaguh pecut negara, Azmi Ibrahim, hairan mengapa jurulatih olahraga negara gagal menjelmakan atlet yang mampu menggegar di pentas saingan utama.

Azmi yang terkenal kerana perseteruannya dengan seorang lagi jaguh, Watson Nyambek, mengakui bakat dimiliki barisan pelari pecut ketika ini lebih baik berbanding zamannya.

Bagaimanapun, tiada gilapan bakat yang berkesan hingga mengakibatkan potensi atlet seperti Badrul Hisyam Manap dan Khairul Hafiz Jantan ibarat tenggelam timbul.

"Atlet akan berlatih mengikut latihan yang ditetapkan oleh jurulatih. Tetapi jurulatih perlu mendapatkan lagi pengalaman serta ilmu bagaimana untuk memastikan atlet negara melakukan catatan yang konsisten," kata Azmi.

Khairul Hafiz kali terakhir mencipta gegar dalam Sukan SEA 2017 manakala nama Badrul yang lebih awal menyerlah, kini semakin dilupakan.

Situasi itu mendesak Azmi untuk mempersoalkan sejauh mana keberkesanan teknik latihan diterapkan jurulatih kebangsaan bagi memastikan prestasi atlet sentiasa mendaki graf peningkatan.

"Buat masa ini, atlet pecut negara tidak mampu melakukan catatan yang konsisten jika dibandingkan ketika saya mewakili negara dalam acara pecut."