Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, tidak akan beraksi dalam acara pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Brisbane, Australia.

Pelumba berusia 31 tahun itu berkata walaupun tidak mengalami kecederaan serius, namun kecederaan di bahu kanan menyebabkan pergerakannya agak terbatas.

"Syukur Alhamdulillah, daripada imbasan yang dibuat semalam, tiada kecederaan serius yang lain. Cuma terdapat banyak kesan luka di seluruh badan dan konkusi di kepala dan bahu kanan.

"Paling azab adalah di bahu kanan ini di mana terdapat bengkak di sendi Acromioclavicular mungkin hasil hentakan ketika jatuh atau dilanggar oleh pelumba lain.

"Kecederaan ini menyebabkan pergerakan saya amat terbatas dan oleh itu saya terpaksa direhatkan untuk acara pecut individu," katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

Azizulhasni terlibat dalam pelanggaran ketika perlumbaan acara keirin di Velodrom Anna Meares semalam.

Kemalangan tercetus apabila pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata, melakukan pancungan sebaik sahaja loceng dibunyikan yang mengakibatkan dia dan pelumba Poland, Krzysztov Maksel, terhimpit sebelum terjatuh bersama pelumba lain.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua yang sentiasa mendoakan diri saya, semoga kecederaan ini akan pulih dengan kadar segera dan saya dapat membuat persiapan untuk Kejohanan Dunia di Berlin, Februari tahun depan," katanya.

-- BERNAMA