Memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi sasaran seterusnya buat atlet lumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, selepas mengecapi impian bergelar juara dunia.

2017 menyaksikan Azizulhasni menamatkan penantian selama 10 tahun untuk bergelar juara dunia selepas mengungguli acara keirin dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung di velodrom Hong Kong, Khamis lalu.

Menurutnya, kejayaan ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan terhadap program latihannya di Melbourne di bawah kendalian jurulatih, John Beasley.

Dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Azizulhasni meraih pingat gangsa, iaitu pencapaian pertama sukan berbasikal negara dalam temasya berkenaan.

"Sasaran utama saya adalah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Selepas meraih pingat gangsa di Rio 2016, saya akhirnya bergelar juara dunia," katanya.

Kepulangan Azizulhasni ke tanah air malam ini disambut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi serta rakan seperjuangannya dalam sukan berbasikal.

Mengimbau kembali persembahan yang dipamerkan dalam laluannya bergelar juara dunia, Azizulhasni menganggap ia merupakan antara perlumbaan terhebat pernah disertainya.

Malah, kemampuannya untuk jauh meninggalkan pelumba-pelumba seperti pelumba ranking pertama dunia acara keirin, Thomas Babek dari Republik Czech dan juga pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata, turut dikagumi legenda berbasikal lain, antaranya bekas juara dunia dari Great Britain, Chris Hoy.

Kejayaannya itu juga mengimbau kehebatan yang pernah dipamerkan pelumba Perancis, Frederic Magne pada 1995 selain kayuhan luar biasa pelumba Belanda, Theo Bos, dalam Kejohanan Dunia 2006.

"Selepas perlumbaan berakhir, ada beberapa pelumba basikal telah bertemu dengan saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan memenangi kejohanan ini. Mereka menyifatkan ia merupakan salah satu perlumbaan terbaik di dunia."

Jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley, turut berbangga di atas pencapaian Azizulhasni selepas berlatih selama 10 tahun bersama beliau.

"Saya amat berbangga kerja keras dan dedikasi yang telah diberikan oleh Azizulhasni bersama saya dalam tempoh 10 tahun.

"Dia adalah seorang atlet yang berbakat. Saya juga berharap dapat menghasilkan lebih ramai pelumba basikal bertaraf dunia," kata Beasley.