Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menyahut cabaran selaku antara sandaran utama meraih pingat emas sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan persaraan Datuk Lee Chong Wei.

Azizulhasni selaku bekas juara dunia dan pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio 2016 akan menggalas tugas utama di Tokyo tahun depan.

Dia menghuni ranking keempat dunia keirin dan ke-22 untuk acara pecut individu.

The Pocket Rocketman dijangka tiada masalah untuk layak ke Tokyo dalam kedua-dua acara itu selain turut memburu tiket dalam pecut berpasukan lelaki bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis.

"Saya melihat ia sebagai tanggungjawab yang besar buat saya dan seluruh skuad berbasikal trek negara. Saya berharap setiap rakyat terus memberi sokongan kepada setiap atlet yang bakal beraksi dalam Sukan Olimpik nanti," katanya.

"Sememangnya perkhabaran Chong Wei yang bersara daripada arena badminton amat menyedihkan tetapi ia adalah perkara terbaik buat dirinya. Saya mendoakan semoga maju jaya buat cabaran baru buat dirinya selepas ini."