Azizulhasni berguru dengan juara dunia bina badan

Oleh Staff Writer 16 Mac 2019 3078
Azizulhasni berguru dengan juara dunia bina badan
Juara dunia berbasikal trek berguru dengan juara dunia bina badan menjadi latar belakang kepada usaha Azizulhasni Awang untuk mengatasi belenggu fizikal, kurang 500 hari menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azizulhasni bakal mendapatkan kepakaran ikon berat badan Malaysia, Syarul Azman Mahen Abdullah, dalam usaha untuk meningkatkan berat badannya.

Isu berat badan ini juga dikenal pasti sebagai faktor kegagalan The Pocket Rocketman ketika kempen Kejohanan Dunia 2019 di Pruszkow, Poland, bulan lalu dalam acara pecut dan keirin.

Pasca Sukan Olimpik London 2012, Azizulhasni turut diletakkan dalam program peningkatan berat badan sehingga 69 kilogram oleh ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, bagi menghadapi Sukan Olimpik Rio 2016.

"Saya mempunyai tempoh selama 12 bulan untuk menambahkan berat badan, itu misi yang tidak mustahil kalau semua prosedurnya diikuti. 

"Saya telah pun membuat langkah awal sempena tempoh bercuti di Malaysia ketika ini dengan mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Syarul Azman sebagai jaguh bina badan negara. 

"Saya mendapatkan khidmat nasihat daripada beliau. Banyak yang saya pelajari daripadanya dan saya didedahkan dengan kaedah baru dalam misi menambahkan berat badan," katanya.

Antara fokus lain Azizulhasni adalah mendapatkan dana tambahan bagi pasukan profesionalnya yang membabitkan bakat muda seperti Amar Danial Masri dan Ridwan Sharom untuk berlatih di Melbourne, Australia.

"Sudah semestinya saya akan cuba membawa mereka ke Melbourne kerana di sana mereka boleh bertanding sebanyak mungkin.

"Jadi, saya boleh bersama mereka setiap hari tetapi kalau peruntukan tidak mencukupi, mereka akan berlatih di Malaysia," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen