Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, belum berpuas hati dengan prestasinya menjelang Sukan Asia Indonesia bulan depan walaupun mudah menjuarai acara keirin dan pecut di Velodrom Nasional, semalam.

Azizulhasni, yang mendominasi Kejohanan Kebangsaan selepas kali terakhir melakukan penampilan pada 2013 dan dalam aksi final keirin, memulakan pecutan awal serta berjaya mengekalkan rentak walaupun cuba dicabar pelumba muda, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor.

Bagaimanapun, masih banyak ruang untuk diperbaiki dalam misi merampas pingat emas keirin atau pecut Sukan Asia.

"Mampu memberikan kayuhan mantap membuatkan saya sedikit bermotivasi dan apabila ke China nanti, ia lebih kepada meningkatkan skil dan taktikal. Baki tiga minggu sebelum ke Indonesia akan digunakan untuk meningkatkan kelajuan dan kekuatan," katanya.

Dalam masa sama, seorang lagi jaguh berbasikal negara, Fatehah Mustapa, pula mengekalkan status ratu trek kebangsaan apabila menjuarai acara pecut wanita sehingga menimbulkan persoalan mengenai wakil negara ke Sukan Asia.

Dia mengatasi Farina Shawati Adnan dan Anis Amira Rosidi yang akan memberi cabaran dalam saingan di Indonesia bulan depan dalam pecut, keirin dan pecut berpasukan.

"Ketika ini, bagi saya kami mencapai 80 peratus persiapan untuk ke Sukan Asia dan masih banyak yang perlu diperbaiki," ujar Farina.

Skuad negara akan menyertai Piala Trek 1 dan 2 di China minggu depan.