Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, kecewa apabila beberapa calon dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang menjelang hari pemilihan, esok.

AGM ASUM panas dengan beberapa tuduhan bersifat peribadi.

Ia membabitkan calon yang mencabar jawatan timbalan presiden, Zainal Othman, selain beberapa jawatan lain.

Situasi itu merupakan perkembangan negatif buat sukan negara kerana ia mencerminkan tahap kepimpinan pegawai sukan negara.

"Ia merupakan isu dalaman dan ia harus diselesaikan secara dalaman.

"Tidak perlulah sampai kita nak bawak perkara ini ke khalayak ramai.

"Saya fikir ia ada kena-mengena dengan ego seseorang tentang jawatan dan kedudukan mereka.

"Jadi, itu sebabnya yang akan kalah adalah sukan itu sendiri," katanya.

Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim, dijangka menang tanpa bertanding.

Namun, dua jawatan timbalan presiden yang disandang Datuk Nawawi Reduan dan Oon Kee Seng akan berlaku perubahan kerana terdapat pencabar yang akan merebut jawatan itu.

Turut menarik perhatian adalah jawatan setiausaha kehormat yang disandang Mae Chen sejak 2015.

"Saya mendapati perkara ini sudah menjadi kebiasaan dalam sukan di mana apabila seseorang itu memegang jawatan, dia tidak mahu melepaskannya sampai ke akhir hayat.

"Tetapi ini mungkin tidak baik untuk sukan itu sendiri.

"Saya memohon supaya semua pihak yang terlibat untuk memberikan kepentingan kepada sukan itu sendiri," tambahnya.