Atlet lontar peluru negara, Irfan Shamsuddin, tidak menghadapi masalah untuk terus mempertahankan pingat emas acara itu buat kali ketiga berturut-turut dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 sejak edisi 2014 di Palembang.

Irfan tidak berada dalam keadaan terbaik memandangkan dia mengalami kecederaan kaki kanan dalam sesi latihan, dua hari sebelum bermulanya saingan.

Bagaimanapun, selepas enam percubaan, pemegang rekod kebangsaan itu unggul untuk melakar lontaran sejauh 54.77 meter, sekali gus menobatkannya sebagai pemenang pingat emas di Nay Pyi Taw, Myanmar, hari ini.

"Alhamdulillah, saya dapat mempertahankan emas buat kali ketiga.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua.

"Saya sebenarnya masih dalam fasa penurunan berat badan," kata Irfan.

Lebih manis, rakan sepasukan, Abdul Rahman Lee, yang membuat penampilan pertama dalam temasya itu juga membuat lontaran 49.88 meter untuk meraih perak sementara gangsa milik peserta Thailand, Thongchai Silamool.

Menurut Abdul Rahman: "Misi saya di sini adalah untuk meraih kedudukan kedua dalam usaha memberikan sumbangan kepada kontinjen Malaysia."

Sementara itu, dalam acara lompat kijang, R. Kirthana kempunan untuk memungut emas pertamanya dalam temasya AUG 2018 apabila dibezakan hanya 0.02 meter sahaja dengan juara dari Thailand, Pariya Chuaimaroeng.

Kesilapan dalam lompatan terakhir menyebabkannya berputih mata untuk terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 12.60 meter.

Ia juga merupakan perak kedua Kirthana memandangkan sebelum ini, dia juga meraih keputusan sama dalam acara lompat jauh.

"Saya gembira dapat memberi sumbangan kepada kontinjen Malaysia.

"Sememangnya saya tidak berpuas hati dengan kemenangan perak ini kerana ini adalah acara kegemaran saya.

"Sungguhpun saya sedar Pariya masih segar dengan kejayaan memenangi medal dalam Sukan Asia 2018, saya tetap menaruh harapan untuk memberi cabaran sengit kepadanya.

"Namun, teknik terbaik saya pada hari ini tidak menjadi," katanya.