Kei Nishikori mempamerkan kejutan dalam saingan ATP Akhir semalam selepas merakamkan kemenangan straight set ke atas Roger Federer.

Nishikori hadir dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan tanpa menewaskan Federer dalam enam pertemuan terdahulu tetapi pemain nombor sembilan dunia itu meraih kemenangan 7-6 (7-4), 6-3 di O2 Arena.

Ia merupakan satu pencapaian terbaik Nishikori selepas kembali pulih daripada kecederaan pergelangan tangan.

Memberikan kekalahan yang jarang berlaku buat Federer menyukarkan perjalanan pemain veteran itu untuk mengejar gelaran yang ke-100 dalam kariernya.

Masalah Federer bermula dalam permainan keempat selepas beberapa pukulannya terkena jaring dan secara tidak langsung memberikan momentum kepada Nishikori untuk melakukan pukulan-pukulan berkualiti sebelum tunduk dalam set pertama 7-6 (7-4).

Dalam set kedua, beberapa kesilapan Federer membenarkan Nishikori mengutip mata demi mata, sekaligus mendahului 4-2.

Wakil Jepun itu mengekalkan momentum hingga tamat permainan bagi memastikan kemenangan 6-3.