Universiti Malaya (UM) menjelaskan tiga penerjun negara yang terbabit dengan insiden berfoya-foya di China, Februari lalu, memiliki rekod cemerlang sebagai pelajar, terutama Pandelela Rinong.

Selain Pandelela, dua lagi penerjun yang menuntut di UM adalah Ahmad Amsyar Azman dan Nur Dhabitah Sabri.

Ketiga-tiga atlet itu mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan majoriti mencatatkan keputusan cemerlang, sekali gus membuktikan insiden di China itu tidak mencerminkan kehidupan mereka secara keseluruhan.

"Di universiti dan juga kelas, mereka tidak berdepan sebarang masalah. Malah, mereka merupakan antara pelajar yang menunjukkan disiplin yang tinggi.

"Apabila berada di Malaysia, mereka tidak terlepas sebarang kuliah dan menyiapkan segala tugasan yang diberikan, sekaligus mengikuti pengajian dengan baik," kata pensyarah UM, Dr Mohamad Faithal Hassan.

Dalam masa sama, Dr Faithal meminta pegawai sukan negara agar mencari jalan penyelesaian terhadap insiden itu yang mungkin boleh menular ke dalam sukan lain dan menganggap situasi tersebut menunjukkan atlet lelaki dan wanita tidak dikawal dengan baik.

"Pada umur sebegitu, mereka masih belum dapat membezakan perkara terbaik buat mereka.

"Bagi saya, kehadiran individu seperti ahli psikologi mampu memberikan barisan atlet Malaysia satu pendekatan yang lebih baik dalam menentukan mereka sentiasa terkawal."