“Atlet elit Podium terlalu dimanjakan.”

Itu tegas Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi, sehingga ia menjadi punca ketumpulan jati diri mereka dalam penyertaan di peringkat tertinggi.

Wujud kelemahan ketara yang dapat dihidu Dr Khairi sepanjang dua tahun penubuhan Program Podium sejak 2016.

Tiada istilah menyembunyikan situasi sebenar, beliau tidak menafikan kelemahan itu sepatutnya tidak berlaku kepada atlet Podium yang merupakan atlet berprestasi tinggi.

Bagi Dr Khairi, mereka yang hadir daripada program tersebut sepatutnya jelas dengan tanggungjawab selaku atlet elit.

Jika sasaran pingat emas yang disandarkan ke bahu atlet tersebut dianggap sebagai bebanan, maka mereka tidak layak untuk berada dalam Program Podium.

"Sebenarnya, saya kurang bersetuju dengan pandangan bahawa seseorang atlet itu akan tertekan apabila diberitahu mengenai sasaran buat mereka.

"Bagi saya, apabila atlet itu telah dipilih untuk berada dalam program elit, tekanan pertandingan itu adalah sesuatu yang perlu mereka terima dengan penuh bersedia," katanya.

Dalam masa sama, kegagalan pegawai sukan dan jurulatih untuk memantau perkembangan kontinjen luar juga menjadi punca kegagalan atlet Program Podium ketika saingan Sukan Komanwel, April lalu.

"Kekurangan Program Podium adalah daripada segi pemantauan atau politik sukan itu sendiri. Sebagai contoh, gimrama atau gimnastik. Kami dapati bahawa sebuah negara yang langsung tidak menyerlah di pentas Komanwel sebelum ini, iaitu Cyprus, tiba-tiba mendominasi pingat. Mungkin di situ, pihak Podium terlepas pandang akan cabaran yang bakal dihadapi."