Pemangku Pengarah Bahagian Persediaan Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, menjelaskan peluang atlet gimnastik negara, Nur Eli Ellina Azmi, mewakili negara belum lagi tertutup meskipun dia mengumumkan persaraan daripada mewakili Malaysia.

Selepas 12 tahun berkecimpung dalam sukan gimnastik, Ellina mengambil keputusan bersara setelah namanya tidak tersenarai dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Sehubungan itu, dia tidak lagi ditawarkan lanjutan oleh MSN selain tidak lagi dibenarkan menginap di asrama atlet.

Meskipun Ellina antara yang menyumbang pingat emas buat kontinjen negara dalam temasya KL2017 tahun lalu, Jefri yakin Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) mempunyai sebab-sebab tersendiri mengapa dia tidak disenaraikan.

"Semua pihak perlu sedar, pemilihan atlet ke Sukan Komanwel sangat ketat.

"Hanya empat gimnas akan terpilih untuk mewakili negara, bagaimanapun peluang atlet masih lagi terbuka kerana senarai nama akan dikeluarkan pada bulan depan," katanya.

Jelas Jefri lagi, Ellina merupakan atlet gimnastik negara yang tersenarai dalam program untuk menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina.

Namun, sekiranya dia kekal dengan keputusan untuk bersara, MSN berkemungkinan merancang untuk menyenaraikan atlet pelapis bagi menggantikan tempatnya.

"Ellina sebenarnya sudah terpilih untuk program senior bagi persiapan Sukan SEA 2019.

"Namanya sudah tersenarai, kami juga mempunyai atlet muda yang mampu menggantikan tempatnya.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya atas jasanya menaikkan sukan gimnastik selama ini," tambah Jefri.