Pengaruh bekas atlet dan atlet senior menjadi antara punca utama mengapa terdapat segelintir atlet angkat berat negara mengambil makanan tambahan yang mengandungi bahan terlarang yang tidak mendapat kelulusan Institut Sukan Negara (ISN).

Itu antara pendedahan awal Ppemangku Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, berdasarkan pertemuan dengan jurulatih dan atlet, hari ini.

Terdapat atlet yang mendedahkan tiga rakan mereka yang disahkan positif bahan terlarang jenis stanozolol, terpengaruh dengan saranan atlet senior atau bekas atlet negara.

Apa yang memburukkan lagi keadaan, mereka langsung tidak merujuk kepada pegawai pemakanan ISN jika bahan pemakanan tambahan itu selamat dimakan atau sebaliknya.

"Ada beberapa atlet yang memaklumkan kepada kami bahawa mereka telah menyemak dengan pihak pemakanan ISN dan telah diberikan nasihat agar tidak mengambil bahan makanan tersebut dan mereka tidak mengambilnya tetapi ada juga atlet yang tidak menyemak sehingga berlaku beberapa perkara yang tidak diingini.

"Saya belum menerima maklumat lanjut sehingga pegawai saya menemui atlet yang terlibat untuk melakukan siasatan lebih lanjut," kata Jefri.

Sementara itu, jurulatih negara, Nicholas Fung, enggan mengulas lebih mendalam maklumat yang diterima tetapi mahu siasatan rapi terus dijalankan.

Sebagai jurulatih, beliau kesal dengan perkembangan berkenaan kerana tiga atlet pelapis terbabit merupakan prospek besar pada masa akan datang.

"Kesan yang paling besar adalah untuk kami memperkembangkan semula kerana pelapis-pelapis yang ada sekarang merupakan harapan negara di masa akan datang. Jadi, kami harus memulakannya semula," kata Nicholas.