Atlet yang bakal tersenarai dalam peringkat satu program latihan harus mempamer prestasi konsisten sepanjang tahun ini jika ingin terus kekal dalam program teratas yang menjurus kepada persiapan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Rumusan daripada bengkel penstrukturan semula program latihan atlet menyaksikan seramai 19 nama dicadangkan dalam peringkat satu oleh tiga persatuan sukan kebangsaan melibatkan terjun, berbasikal dan badminton.

Selepas dimuktamadkan dalam Jawatankuasa Pemilihan pada 27 dan 28 November ini, prestasi atlet dalam setiap peringkat itu akan dinilai sepanjang tahun sebelum berlaku sebarang perubahan.

Tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, setiap atlet perlu sedar dengan peranan masing-masing selepas diletakkan dalam setiap peringkat bagi memastikan persiapan tahun depan tidak terjejas.

"Kalau atlet layak dan menunjukkan prestasi baik, sebagai contoh saingan di peringkat Asia dan dia membuktikan kemampuan selaku atlet terbaik, dia akan masuk ke peringkat dua. Jadi, tidak perlu risau kerana jika anda berada dalam peringkat satu dan tidak menampilkan aksi baik, mungkin akan jatuh semula ke peringkat dua," kata Shapawi.

Bengkel yang diadakan selama dua hari itu menepati keperluan MSN yang inginkan cadangan program daripada setiap persatuan walaupun pada mulanya terdapat kekeliruan antara mereka dalam memilih atlet ke dalam setiap peringkat.

"Secara tidak langsung, sekarang sudah ada dasar satu program latihan. Jadi, pegawai kami akan membentuk semula dan melengkapkan apa yang tidak cukup serta menentukan ketepatan yang diperlukan," tambahnya.