Bekas pelumba berbasikal trek negara, Ishak Alwi, meminta atlet lain agar mencontohi usaha Azizulhasni Awang yang sanggup mewujudkan pasukan sendiri walaupun menggalas tugas penting memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bukan semua atlet mampu melaksanakan apa yang dilakukan Azizulhasni.

Walaupun sibuk memberikan tumpuan kepada program latihan, persiapan memburu emas Sukan Olimpik dan menguruskan keluarga, dia masih lagi memikirkan soal program pembangunan berbasikal trek.

The Pocket Rocketman dalam proses perbincangan dengan beberapa penaja untuk melancarkan Team Azizul, pasukan trek bertaraf benua yang sudah didaftarkan dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ia bukti kesungguhan dan pengorbanan Azizulhasni, sekali gus wajar menjadi contoh kepada atlet lain.

"Selepas era Rosman Alwi, Azizulhasni merupakan atlet berbasikal terkemuka di Malaysia.

"Saya berasa bangga kerana anak-anak muda mendapat dorongan daripada Azizulhasni sebagai atlet berbasikal trek elit dunia.

"Ia boleh membantu remaja kita daripada terjebak dengan gejala tidak sihat," katanya.

Azizulhasni sudah memilih tiga pelumba muda untuk menyertai Team Azizul dengan perancangan membawa mereka berlatih di Melbourne, Australia dan menyertai perlumbaan kelas 1.