Sukan mendaki Malaysia diibaratkan hidup segan mati tidak mahu.

Situasi itu dapat dilihat ekoran ketiadaan program khusus daripada Persatuan Mendaki Malaysia (PMM) sehingga mencetuskan rasa kecewa atlet negara.

Tatkala negara rantau Asia Tenggara seperti Indonesia dan Singapura semakin menampakkan kemajuan, tidak keterlaluan jika Malaysia dikatakan masih berada di takuk yang sama.

Dua bulan selepas saingan Sukan Asia Indonesia berakhir, majoriti atlet mendaki negara sedang menunggu perkembangan program susulan sukan itu, namun tiada perkembangan rasmi daripada PMM.

"Saya sangka selepas tamatnya Sukan Asia 2018 akan ada perkembangan terhadap program kami, sebaliknya kami kembali berlatih bersendirian.

"Kalau keadaan berterusan seperti ini, sukan mendaki tidak akan pergi jauh.

"Pertandingan untuk sukan ini hanya diadakan beberapa kali setahun, satu-satunya kejohanan yang pihak persatuan anjur ialah sesi pemilihan Sukan Asia," kata pendaki negara, Amalina Syairah Abdul Mutalip.

Situasi sebenar turut didedahkan apabila ketiadaan tunjuk ajar jurulatih bertauliah dan hanya merujuk laman Youtube sebagai latihan tambahan ketika melakukan persediaan untuk ke Sukan Asia baru-baru ini.

Tiada kemudahan terkini untuk dijadikan bantuan dalam latihan buat barisan atlet juga antara punca Malaysia semakin ketinggalan.

"Kalau ada kemudahan dan komitmen yang bertanggungjawab, pendaki negara mampu berdiri sebaris dengan atlet Indonesia dan di dunia.

"Cuma ketika ini kami tidak mempunyai sistem yang betul, itu sahaja," kata seorang lagi pendaki negara, Mohd Redha Rozlan.