Atlet hoki ungguli Anugerah Sukan UiTM 2017

Oleh Staff Writer 28 Mac 2018 533
Atlet hoki ungguli Anugerah Sukan UiTM 2017
Anugerah Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) 2017 yang berlangsung semalam menyaksikan dua tonggak hoki kebangsaan, Meor Muhammad Azuan Hassan dan Nur Syafiqah Mohd Zain, meraih kejayaan besar apabila dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati.

Meor Muhammad Azuan mengetepikan enam lagi calon hebat yang terdiri daripada kapten pasukan bolasepak skuad B-23 negara, Adib Zainuddin, Syed Akmal Fikri Syed Ali (petanque), Mohammad Safwan Abdullah (ragbi), Muhammad Aqil Yasmin (olahraga), Azam Mohd Shidi (orienteering) dan atlet menembak negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan.

Meor Muhammad Azuan yang merupakan  sebahagian daripada atlet Program Podium menjadi tonggak penting skuad hoki negara sehingga meraih beberapa kejayaan cemerlang tahun lalu, antaranya pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, selain membantu Malaysia layak ke Piala Dunia 2018.

Olahragawati UiTM 2017 pula milik Nur Syafiqah yang turut membantu kecrmerlangan skuad hoki wanita negara tahun lalu.

Kedua-dua pemenang itu diwakili ibu masing masing memandangkan Meor Muhammad Azuan dan Nur Syafiqah kini berada di Gold Coast untuk menghadapi Sukan Komanwel 2018 

"Saya bersyukur dengan kejayaan diraih. Moga dia mengekalkan usaha untuk dunia dan akhirat," ujar ibu Meor Muhammad Azuan, Azizah Hashim.

"Semoga kejayaan ini menjadi pendorong kepadanya untuk berusaha lebih keras," tambah ibu Nur Syafiqah, Ramziah Rahim.

Sementara itu, jurulatih skuad bolasepak UiTM, Wan Mustafa Wan Ismail, dinobatkan sebagai jurulatih terbaik UiTM 2017 berdasarkan reputasinya yang menyaksikan pasukan menamatkan saingan di tempat keenam dalam Liga Perdana, selain melayakkan diri ke Piala Malaysia buat julung kali sepanjang penubuhan kelab itu. 

"Ini adalah usaha kami sehingga diiktiraf. Semoga kejayaan ini menjadi cabaran buat saya untuk memastikan kami terus meningkatkan prestasi," ujar Wan Mustafa.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen