Institut Sukan Negara (ISN) menasihatkan atlet menjalani latihan intensif pada waktu malam bagi mengelak masalah dehidrasi yang boleh mengundang risiko kekejangan otot dan lebih serius, serangan jantung.

Pegawai pemakanan ISN, Noor Kamsina Aziz, berkata atlet berdepan risiko dehidrasi sekiranya tubuh mereka kehilangan terlalu banyak air.

Sehubungan itu, dia menasihatkan atlet berlatih selepas waktu berbuka puasa bagi mengurangkan risiko kecederaan.

"Apabila badan telah kehilangan gula, badan bekerja keras untuk memberikan tenaga. Daripada situ, badan akan menggunakan otot atau lemak sebagai tenaga. Selalunya, ia akan menyebabkan penyusutan otot di dalam badan.

"Misalnya, apabila atlet berlatih pada siang hari dalam kawasan terbuka yang panas, selalunya atlet akan kehilangan air kira-kira satu hingga dua liter dan akan kehilangan berat badan satu hingga ke dua kilogram.

"Kehilangan air sehingga dua liter sebenarnya agak bahaya dan bagi atlet seberat 50kg dan 60kg, ia sudah empat peratus daripada berat badannya.

"Kalau mahu melakukan latihan pada waktu pagi, kami cadangkan ia melibatkan latihan jenis kemahiran atau teknik.

"Pada sebelah petang, atlet sudah boleh berlatih di gimnasium. Ini kerana selepas berlatih, atlet boleh berbuka dengan mengambil minuman atau makanan yang ada protein. Pembinaan otot dapat dilakukan selepas itu," katanya.