Sabah meraih tiga pingat emas dalam Kejohanan Boling Tenpin Simulasi Sirkit Lite Superbowl Johor Bahru (LSBJB) Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Lite Superbowl, Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru, baru-baru ini.

Selain tiga emas, kejayaan pasukan Sabah dalam kejohanan itu turut dihiasi dengan dua perak dan lebih manis lagi, atlet-atlet negeri berkenaan menyapu bersih kejuaraan dalam kategori Masters selepas Emmanuel Fo menjuarai kategori lelaki dan Intan Qistina menjuarai kategori perempuan.

Satu lagi pingat emas dimenangi oleh gandingan mantap Zulhilmi Zulkiplee dan Intan Qistina menerusi acara beregu campuran.

Sementara itu, pingat perak pula dimenangi menerusi acara trio perempuan gandingan Cara Loh, Aleeyah Syakirah dan Intan Qistina, manakala persaingan kedudukan nombor satu dan dua dalam kategori Masters lelaki memaksa Zulhilmi berpuas hati muncul selaku naib johan di belakang Emmanuel.