Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyenaraipendekkan empat calon jurulatih baru negara dalam bengkel penstrukturan semula program latihan atlet yang bermula hari ini.

Selain menyediakan cadangan program latihan atlet, ASUM turut mengenal pasti empat nama jurulatih dari United Kingdom dan Amerika Syarikat yang akan dipilih untuk mengisi kekosongan ketua jurulatih renang negara bagi menggantikan pengendali dari Australia, Paul Birmingham.

Cadangan nama berkenaan akan diusulkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan dijangka bakal diputuskan Januari depan.

"Kami memerlukan jurulatih berprestasi tinggi dan mampu menyediakan medium latihan bagus serta berpengalaman. Komunikasi yang baik juga diperlukan bagi memberi pendedahan kepada jurulatih tempatan," kata Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen.

Hari pertama bengkel berlangsung menyaksikan ASUM sedang meneliti sebaik mungkin barisan penerjun yang berpotensi bagi mengisi tingkat 1 dengan harapan pingat di pentas Olimpik Tokyo 2020 apabila tidak hanya berlandaskan kepada pencapaian di Olimpik Rio 2016 yang lalu tetapi berdasarkan prestasi semasa.

"Berdasarkan program ini, saya tidak pasti sama ada tingkat 1 akan menyaksikan pemenang pingat perak sebelum ini akan layak. Kami perlu berbincang dan menyemaknya semula. Ia memerlukan motivasi yang tinggi," katanya.