Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, meminta Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengkaji semula program latihan skuad terjun negara yang dilihat terlalu mendesak atlet hingga menjurus kepada gejala negatif.

Terjun adalah antara sukan yang memiliki jadual paling padat sepanjang tahun.

Skuad negara dijadual menyertai 12 kejohanan antarabangsa setahun, tidak termasuk kejohanan tempatan, selain kem latihan pusat di China selama beberapa bulan untuk satu sesi.

Ia dilihat menjadi punca penerjun mencari aktiviti melepaskan tekanan.

"Selepas 10 tahun mengharungi perkara yang sama, sampai satu peringkat ia mendatangkan perkara-perkara yang negatif," katanya.

Mazlan menegaskan hukuman penggantungan tidak menyertai Sukan Asia Indonesia atau memotong elaun latihan hanya bersifat sementara.

Buktinya kes mirip gangguan seksual, Disember tahun lalu, hampir berulang.

"Jadual latihan dan kejohanan skuad terjun negara harus dinilai semula bagi mengelak daripada sebarang aktiviti ini berulang," tambahnya.

Sementara itu, bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, mendakwa aktiviti mengambil minuman keras ketika menyambut perayaan di luar negara tidak pernah berlaku sepanjang di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Yang Zhuliang.

"Kami selalunya menyambut perayaan-perayaan ini di restoran bersama-sama di bawah pantauan jurulatih," kata Bryan.