ASUM hormati kehendak Heidi

Oleh Staff Writer 12 Jun 2019 716
ASUM hormati kehendak Heidi
Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) terpaksa akur kehilangan dua pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan berikutan jaguh renang terbuka, Heidi Gan, mengambil keputusan bersara, iaitu sehari selepas saingan acara lelaki temasya itu digugurkan.

ASUM terpaksa menelan hakikat bahawa impian untuk mempertahankan dua emas dalam acara 10km renang terbuka di Filipina tidak kesampaian apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISOC) menggugurkan acara lelaki apabila hanya mempertandingkan saingan wanita.

Namun, Malaysia menerima tamparan apabila atlet berusia 31 tahun itu yang turut beraksi dalam Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016 mengambil keputusan bersara.

Ini kerana Heidi sudah memulakan kerjaya sebagai peguam di Australia sejak awal tahun ini.

"Dia sudah tidak boleh memberi komitmen kepada latihan.

"Buat masa ini, acara renang terbuka baru lagi diperkenalkan di Malaysia dan ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum menyerlah," ujar Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen. 

Apa yang mengecewakan, Malaysia tidak memiliki perenang pelapis berkualiti, sekali gus hampir pasti terlepas emas temasya dwi-tahunan itu. 

Sementara itu, ASUM menafikan pelan melantik bekas pengendali negara, Yang Zhuliang, untuk membimbing bekas juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong.

"Saya tidak mahu mengulas dan saya tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen