Jaguh boling tenpin lelaki negara, Rafiq Ismail, antara calon pilihan bagi Olahragawan Kebangsaan dalam majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018, 23 April ini, sambil perebutan gelaran Olahragawati Kebangsaan lebih terbuka.

Rafiq menjadi pilihan atas kejayaan muncul juara dunia selain meraih pingat emas Sukan Asia Indonesia 2018.

Namun, persaingan dalam Olahragawati Kebangsaan lebih terbuka selepas beberapa atlet wanita merangkul kejayaan dalam Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia 2018.

"Nama-nama yang dipertimbangkan terdiri daripada Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Rafiq, Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (olahraga).

"Bagi wanita pula, S. Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling tenpin) dan beberapa nama lagi.

"Pemilihan untuk calon-calon ASN 2018 berasaskan pencapaian mereka dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 selain kejayaan yang dicapai atlet negara dalam kejohanan dunia," jelas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Pencalonan itu menjadikan saingan merebut anugerah Olahragawati Kebangsaan sukar diramal.

Sebanyak 65 pencalonan diterima daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Jawatankuasa Pemilihan.

ASN 2017 menyaksikan Azizulhasni dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan sementara penerjun, Cheong Jun Hoong diangkat selaku Olahragawati Kebangsaan.