Jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, memasang hajat untuk menyempurnakan gemilang tahun 2018 dengan dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan dalam Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018, Selasa ini.

Terdahulu, Rafiq diangkat sebagai atlet terbaik dalam Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Jagoan Nadi Arena (AJNA) 2018.

Rafiq muncul juara acara perseorangan lelaki dalam Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia di Hong Kong, Disember lalu, untuk menyusuli pingat emas Sukan Asia Jakarta (kategori Masters) dan pingat perak Sukan Asia (trio lelaki) tahun lalu.

"Anugerah SAM sebelum ini amat bermakna kerana ia satu pengalaman yang cukup istimewa apabila ia disampaikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Untuk tercalon dalam ASN 2018 pun sudah sukar tetapi saya mahu memenanginya.

"2018 merupakan tahun paling gemilang buat boling tenpin negara kerana Sukan Asia dan Kejohanan Dunia merupakan gelaran paling besar," ujarnya.

Dalam masa sama, Rafiq menganggap langkah Institut Sukan Negara (ISN) memperkenalkan sesi memantapkan mental menyumbang kepada kejayaannya.

"Pada awalnya, sasaran utama saya adalah Sukan Asia 2018 dan Kejohanan Dunia bukannya keutamaan tetapi mungkin ia sudah menjadi rezeki saya.

"Selepas Sukan Asia, kami mengekalkan rutin latihan yang sama sempena Kejohanan Dunia, cuma ada sedikit tambahan latihan.

"Kami juga menghadiri beberapa kelas di bawah ISN dan langkah itu membuatkan saya lebih bersedia untuk menghadapi Kejohanan Dunia," katanya.

Atlet muda berusia 22 tahun itu akan menerima saingan antaranya daripada Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badna), Ziyad Zolkefli (lontar peluru para) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (olahraga para).

Bagi Olahragawati Kebangsaan 2018 pula, S. Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling tenpin) dan atlet gimrama, Amy Kwan, muncul antara pencabar kuat.

Edisi 2017 menyaksikan Azizulhasni dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan sementara penerjun, Cheong Jun Hoong, diangkat selaku Olahragawati Kebangsaan.