Pencapaian cemerlang tahun lalu mahu diteruskan skuad hoki lelaki serta pasukan bowling wanita kebangsaan selepas mereka diangkat sebagai pemenang pasukan terbaik dalam Anugerah Sukan Negara 2017.

Skuad hoki lelaki negara meraih pencapaian cukup baik pada 2017 apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia di India hujung tahun ini.

Selain itu, reputasi mereka di rantau Asia Tenggara ternyata tiada tandingan selepas memperoleh emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Kapten pasukan, Sukri Abdul Mutalib, mahu menjadikan penghargaan ini sebagai lonjakan semangat, khususnya dalam menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia sebelum bersedia ke saingan di Bhubaneswar, India.

"Pencapaian yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Ia merupakan hasil usaha keras kami sepanjang 2017.

"Dalam masa sama, kami tidak boleh meninggi diri dan perlu terus berusaha keras," kata Sukri.

Sementara itu, atlet bowling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, mewakili rakan sepasukan yang ketika ini sedang mengambil bahagian dalam pertandingan di Jerman untuk menerima anugerah pasukan wanita terbaik.

Mereka menamatkan penantian selama 10 tahun untuk bergelar juara dunia selepas menewaskan Singapura dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Disember lalu.

Sukan Asia di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September menjadi keutamaan dan pastinya mereka mahu terus mengekalkan rentak kejayaan ini.

"Ini akan menaikkan semangat kami untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Asia.

"Dalam edisi kali ini, acara boling tenpin akan menjurus kepada acara berpasukan.

"Saya harap kami dapat mengekalkan momentum kami sebagai sebuah pasukan," kata Syaidatul.