Atlet ping pong negara, Ashraf Haiqal Rizal, berharap kehadiran jurulatih baru dari China, Mu Tong, mampu membantu dirinya untuk turut sama menjadi rakan sepelatih selepas hasrat untuk terus bersama kelab di Jerman lebur.

Kelab SB DJK Rosenheim mengalami masalah kewangan, sekali gus tidak mampu untuk membayar elaun kepada Ashraf andai dia ingin kembali menabur bakti di sana.

Justeru, kehadiran Mu Tong sejak semalam dipandang positif dengan harapan agar pengendali itu mampu menjadi rakan sepelatih yang akan menghadirkan persaingan lebih sengit seperti apa yang pernah dilaluinya di Jerman.

Ketika ini, skuad ping pong negara masih ketandusan pemain yang mampu mencabar di peringkat lebih tinggi selain daripada Ho Ying dan Leong Chee Feng sehingga memberi kesan buat Ashraf untuk terus konsisten.

"Saya cuma kurang daripada segi rakan sepelatih. Kami tiada individu yang lebih tinggi tahapnya. Mahu atau tidak, saya perlu bekerjasama dengan jurulatih. Kalau ada rakan sepelatih, lebih bagus," kata Ashraf.

Setakat ini, tiada perancangan atlet untuk dihantar berlatih ke luar negara bagi persiapan Kejohanan Dunia di Budapest, April depan.

Namun, Ashraf tetap optimis dengan sasaran tersendiri berbekal pengalaman tiga bulan bersama kelab di Jerman tahun lalu.

"Untuk sasaran, saya mahu mendapatkan kedudukan 100 terbaik. Itu hasrat saya."