Kontinjen negara berdepan cabaran awal dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 apabila majoriti atlet hanya dijadual tiba di Semarang, Indonesia, beberapa jam sebelum upacara pembukaan temasya esok ekoran masalah kekurangan penerbangan.

Pegawai negara seramai enam orang yang diketuai Timbalan Chef-de-Mission (CDM), Razuki Abd Rahim, menjadi kumpulan pertama yang tiba hari ini, disusuli atlet olahraga seramai lima orang yang akan menjadi kumpulan kedua yang akan tiba dari Jogjakarta dengan menaiki bas.

Sementara itu, baki seramai 158 atlet akan tiba esok.

Upacara pembukaan temasya akan bermula petang esok, sekali gus menyukarkan peluang atlet negara untuk menguji gelanggang sebelum saingan membuka tirai Jumaat ini.

"Atlet terpaksa menaiki penerbangan ke Jakarta sebelum menyambung perjalanan ke Jogjakarta, kemudiannya ke Semarang.

"Ini kerana kapal terbang telah ditempah oleh kontinjen negara-negara lain dan mereka masih meneruskan latihan sehingga ke hari ini.

"Insya-Allah, atlet akan ada sesi penyesuaian diri petang esok," kata Razuki dengan Malaysia selaku juara bertahan menetapkan sasaran 24 pingat emas.

Tugas mempertahankan kejuaraan dijangka sukar memandangkan tuan rumah membuat persiapan rapi untuk bergelar juara keseluruhan.

Sementara itu, Razuki memberi amaran kepada atlet negara agar menjaga disiplin atau berdepan hukuman.

"Pelajar sukan mesti mengikut peraturan supaya mereka tahu batas untuk maju dalam bidang masing-masing.

"Kalau mereka melanggar peraturan, maka ia sesuatu yang mendukacitakan. Kami akan mengambil tindakan tegas dan tidak menolak akan menghantar mereka balik," tambahnya.