Ketua jurulatih skuad bola keranjang remaja negara, Kenny Tham, melantik pemain senior, Hee Heong Yee, sebagai kapten skuad wanita dengan harapan mampu membimbing pemain-pemain remaja baru dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) Ke-11 di Semarang, Indonesia , 17 hingga 25 Julai ini.

Dengan sasaran ke final serta meraih pingat perak ditetapkan buat skuad bola keranjang wanita remaja dalam ASG, misi tersebut kelihatan sukar disebabkan skuad tahun ini merangkumi kebanyakan pemain baru.

Bagaimanapun, Kenny menaruh harapan kepada kapten skuad, Heong Yee, yang akan membuat penampilan kali ketiga dalam ASG, dapat membantu membimbing pemain baru menggunakan pengalamannya.

"Heong Yee telah beraksi dalam dua edisi ASG sebelum ini. Saya berharap kami mampu meraih pencapaian yang lebih tinggi dalam saingan kali ini," katanya.

Walaupun dilantik buat kali pertama sebagai kapten, Heong Yee yakin mampu memikul tanggungjawab itu serta sudah mengenal pasti beberapa kelemahan yang harus diperbaiki.

"Kami perlu memastikan intensiti latihan dipertingkatkan lagi bagi mendapatkan keserasian yang lebih baik," katanya.

Skuad bola keranjang wanita remaja negara menunjukkan prestasi yang statik apabila hanya mampu meraih pingat gangsa dalam edisi kesembilan ASG dan juga pingat gangsa pada edisi ke-10.