Perjalanan kontinjen negara dalam pemburuan 24 pingat emas dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 bermula selepas upacara pembukaan berlangsung di Stadium Holly, Semarang, Indonesia, hari ini.

Perarakan kontinjen negara terdiri daripada enam atlet olahraga dan pegawai-pegawai ASG.

Berjaya atau tidak kontinjen negara dalam merealisasikan sasaran temasya edisi ini terpulang kepada persembahan mereka dalam mempamerkan prestasi dalam setiap pertandingan, tambahan pula Malaysia hadir dengan status juara keseluruhan edisi lalu.

Dalam kempen temasya edisi ke-11 ini, Malaysia menghantar seramai 163 atlet dan 48 pegawai.
"Semua penerbangan yang dibuat mengalami sedikit masalah teknikal. Semua atlet kita akan sampai pada hari ini.

"Kami berjaya mengadakan rundingan untuk beberapa acara yang bakal kami sertai khususnya pada sebelah pagi esok demi memberi ruang kepada atlet.

"Semestinya kami mahu mempertahankan gelaran (juara keseluruhan) tetapi dalam edisi ini, ada beberapa acara yang didominasi tahun lepas, kali ini tidak dipertandingkan," kata chef-de-mission negara, Izmi Ismail.