Kesilapan ketika pelepasan menjadi punca pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, terlepas gelaran raja pecut Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 apabila mencatat 10.85 saat, tewas kepada pelari Indonesia, Adith Rico Pradana, hari ini.

Diletakkan sebagai pilihan untuk meraih emas acara reben biru itu, Azeem -- remaja terpantas dunia bagi peringkat bawah 16 tahun dalam acara 200m dengan masa 21.24s, April lalu -- melakukan catatan 10.85 saat untuk berpuas hati di tempat kedua, tewas kepada wakil tuan rumah, Adith Rico (10.73s).

Seorang lagi wakil Indonesia, Adith Richi Pradana, melengkapkan podium dengan catatan masa 10.92s.

"Saya melakukan kesilapan ketika berlepas dan cuba mengejar Adith Rico, namun gagal meraih pingat emas," kata Azeem.

"Rezeki tidak menyebelahi saya dalam acara ini, saya akan melihat ke hadapan dan cuba mencipta kejayaan dalam acara 200m."

Sementara itu, Adith Rico menyifatkan Azeem seorang pelari yang hebat pada usia 15 tahun dan akan kembali mencabarnya di peringkat senior, beberapa tahun lagi.

Kejayaan pelari tuan rumah itu membenarkan Indonesia mempertahankan gelaran raja pecut lelaki ASG dua tahun berturut-turut.

"Saingan sangat sengit dan Azeem cuba mengejar hingga tamat perlumbaan tetapi saya berjaya meraih emas kali ini," kata Adith Rico.

"Untuk pergi lebih jauh dan menghadapi pertandingan yang lebih besar selepas ini, dia harus memiliki kekuatan mental yang tinggi dan ini merupakan pengajaran yang berguna buat Azeem," kata ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Kassim.