Pesilat negara, Nor Syakirah Muksin, sanggup menyerahkan semua elaun latihan dan hadiah kemenangan kepada keluarga di Sabah sebelum menewaskan wakil Laos untuk layak ke peringkat separuh akhir kategori Puteri C, Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019.

Syakirah sanggup berkorban untuk keluarga petaninya di Kota Marudu, Sabah.

Dia menyerahkan semua elaun latihan RM500 sebulan dan wang hadiah kemenangan emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 untuk membantu keluarganya.

Pengorbanan itu hampir berbaloi apabila mudah menewaskan Noumtavan Thamma Vongsa 5-0 dalam pusingan pertama untuk layak ke separuh akhir Puteri C bawah 51kg.

"Dengan sukan silat, ia dapat membantu keluarga saya di Sabah dan saya berharap untuk terus mempamerkan persembahan yang lebih baik dengan mengejar sasaran untuk menjadi juara dunia satu hari nanti," katanya.

Aksi Syakirah meningkatkan keyakinan skuad negara untuk mencapai sasaran tiga emas.

Setakat ini, tujuh wakil negara layak ke separuh akhir, diketuai pesilat elit kebangsaan, Muhammad Khairil Adib Azhar.

"Saya akan terus mempamerkan usaha yang lebih tinggi dalam latihan sementara berusaha untuk meraih kemenangan setiap kali turun beraksi."