Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, mencatat sejarah selaku pemenang pingat emas termuda acara 200 meter Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 apabila melakukan larian 21.63 saat di pentas final hari ini, sehari selepas kekalahan dalam acara 100m.

Kejayaan di Semarang, Indonesia itu menjadi detik penting buatnya kerana itu kali pertama dia meraih emas di peringkat antarabangsa.

Bagi Azeem, semangat untuk melupakan kekecewaan lalu menjadi azimat buatnya memburu emas meskipun tidak berada di tahap kecergasan terbaik.

"Walaupun saya meneruskan cabaran dalam keadaan badan tidak begitu selesa, saya bersyukur dapat menamatkannya. Namun, ia tidak menjadi halangan untuk saya memburu apa yang disasarkan. Akhirnya, saya dapat menebus kekecewaan sebelum ini," katanya.

"Saya hanya fikir mahu menebus kesilapan tempoh hari dan bertekad menyumbangkan emas buat Malaysia setelah terlepas semalam. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, terutama keluarga dan jurulatih. Ini adalah anugerah daripada Allah dan saya bersyukur."

Sementara itu, pelari 400m berpagar kebangsaan, Muhammad Muzakkir Reza Khalili, turut mencipta kejutan apabila meraih emas.

Dia yang tidak diletakkan selaku sasaran emas mempamerkan larian mantap sejak 100m pertama sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 52.25s, sekali gus mengatasi catatan terbaik peribadi.

Bagi acara baling tukul besi lelaki, Malaysia sekadar berpuas hati dengan perak dan gangsa selepas Jonah Chang mencatat balingan 55.99m dan Voon Wu Jung melakar 55.43m, bagi menamatkan saingan di belakang pemenang emas dari Myanmar.