Pelari 110m negara, Muhammad Aftar Rosli, mengkaji teknik larian idolanya merangkap pemegang rekod kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian, di internet sejak tiga tahun lalu sebelum mencipta sejarah dengan meraih pingat emas sulung Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 dengan rekod baru temasya, 13.66 saat, petang tadi.

"Saya sering menonton aksi Rayzam Shah di Youtube selain jurulatih juga membantu memperbetulkan teknik larian saya.

"Saya gabungkan kedua-dua elemen itu dan inilah hasilnya," kata pelari dari Perak itu.

Tambahnya: "Saya sendiri tidak menyangka dapat mencipta rekod dan merupakan kenangan manis buat saya."

Sementara itu, tubuh kecil tidak menghalang atlet lontar peluru negara, Jonah Chang, untuk meraih emas kedua skuad olahraga dengan mengatasi dua wakil Thailand.

Jonah, yang mendapat sentuhan jurulatih pertama atlet baling tukul besi kebangsaan, Jackie Wong dan Grace Wong, merakamkan 18.62m, kurang empat sentimeter daripada rekod temasya.

Ia pencapaian membanggakan kerana dia baru berusia 16 tahun dalam kempen sulungnya itu.

"Pesaing-pesaing saya berbadan besar dan mempunyai teknik yang baik.

"Tetapi kami masing-masing adalah manusia dan makan nasi. Buat apa nak takut dan saya harus bersemangat," katanya.

Sementara itu, dalam acara 400m lelaki, malang buat pelari negara, T. Loganesh, apabila dipintas pada saat-saat akhir oleh wakil tuan rumah.

Sepatutnya emas sudah berada dalam genggaman sebelum Dewa Radika memintasnya di garisan penamat dengan catatan 48.78 saat.

"Keluarga saya ada di sini untuk memberi sokongan dan bukan semua orang berkesempatan membuat pengorbanan sebegitu.

"Saya mahu menghadiahkan emas kepada mereka tetapi akhirnya memenangi perak dengan jurang tipis," ujar Loganesh.

Lain-lain keputusan hari pertama menyaksikan Indonesia memungut emas dalam 4x100 meter campuran yang menyaksikan Malaysia di tangga ketiga, sementara Vietnam meraih emas acara 1,500 meter lelaki dengan wakil negara, Zaiyusri Zainon, memenangi perak.

Dengan itu, skuad olahraga negara menamatkan saingan hari pertama dengan dua emas, empat perak dan satu gangsa.