Jurulatih sepak takraw negara, Mohd Futra Abd Ghani, mendakwa mereka menjadi mangsa sabotaj tuan rumah yang sengaja menukar waktu perlawanan peringkat kumpulan acara berpasukan lelaki sebelum Malaysia tewas dalam separuh akhir saingan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG).

Malaysia terpaksa berdepan Thailand dalam separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B.

Perlawanan sepatutnya bermula jam 11 pagi tetapi Indonesia menukarnya dua jam lebih awal ketika pemain negara masih berada di hotel penginapan.

Ia menjadi punca Malaysia tewas kepada Indonesia sebelum terpaksa menentang Thailand dalam separuh akhir.

Regu utama negara yang dibarisi Mohd Faisal Md Fuad, Md Arif Jazimin Zainal Abidin dan Mohd Noor Amirul Zarawi tewas 13-21, 12-21 sebelum regu B negara tumbang 14-21, 18-21 untuk berpuas hati dengan gangsa.

"Kami tidak sempat untuk membuat persiapan menghadapi perlawanan ini dan saya menganggap perkara ini tindakan yang kurang profesional," kata Futra.

"Saya dan rakan sepasukan sangat terkilan dengan apa yang berlaku, kami tidak sempat untuk membuat persiapan menghadapi perlawanan tersebut," kata Faisal pula.

"Kami masih lagi berada di hotel dan apabila kami turun untuk sarapan, jurulatih meminta kami supaya bersiap kerana memiliki perlawanan di sebelah pagi," kata Amirul.