Pengurus Alumni Sekolah Alam Shah Rugby Club (ASAS RC), Ismail Mat Safar, gembira dengan kejayaan pasukan itu muncul juara Kejohanan Ragbi Taiping 10s kategori terbuka yang berakhir Ahad lalu.

Ketika dihubungi di Putrajaya, Ismail berkata selepas empat tahun tidak menyertai Taiping 10's, ASAS tampil dengan sasaran muncul juara.

"Saya gembira kami hadir semula dengan muncul juara kali ini selepas merangkul gelaran
pada 2006 dan 2007," katanya.

Dalam perlawanan akhir di Padang Esplanade, Taiping itu, ASAS RC menewaskan tuan rumah, Taiping Tigers, 26-7 untuk muncul juara kejohanan edisi ke-28 itu.

Pasukan itu juga mengecapi kegembiraan berganda apabila pemainnya, Syarif Nurhidayat,
dinobat sebagai pemain terbaik. Bekas pemain kebangsaan itu melakukan dua try dalam separuh pertama untuk ASAS mendahului 14-0.

Ismail berkata juara Liga Putrajaya itu yang diperkuatkan oleh pemain kebangsaan, Amirul Aiman Abbas, Hafizin Aiman dan Muhd Nur Ikhqwan Nordin sedang membuat persiapan bagi menghadapi Liga Ragbi Malaysia (MRL) 2020.

"Kami mewakili Putrajaya dalam MRL dan berharap melakukan yang terbaik kali ini," ujarnya.