Bekas jurulatih karate-do negara, Datuk P. Arivalagan, mendakwa pengendali kebangsaan, Andris Vasiljevs, patut bertanggungjawab di atas prestasi buruk Malaysia dalam Sukan Asia 2018, sekali gus harus meletakkan jawatan.

Tatkala isu yang melanda Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) sebelum ini belum reda, Arivalagan meminta Vasiljevs meletak jawatan selepas Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa di pentas Sukan Asia 2018, prestasi terburuk sejak acara itu dipertandingkan buat kali pertama pada 1994.

"Dia memegang jawatan ketua jurulatih selama enam tahun. Prestasi Malaysia jatuh pada tahap terendah dalam sejarah.

"Secara langsung, dia harus bertanggungwab. Saya rasa MAKAF telah mengambil tindakan menamatkan kontraknya dan ia adalah satu tindakan wajar.

"Namun, ia harus diperbaiki tidak kira wajar atau tidak," katanya.

Perkembangan itu menghangatkan kontroversi MAKAF selepas Persatuan Karate-do Negeri Pahang (KARAPAH) meminta Menteri Belia dan Sukan campur tangan mengenai isu penggantungan mereka menjelang mesyuarat agung tahunan, 28 Oktober depan.

Sementara itu, Arivalagan turut meminta Presiden MAKAF, Tan Sri Mohd Ali Rustam, bertanggungjawab atas prestasi buruk skuad negara.

"Tidak seharusnya satu badan itu hanya membawa masuk seorang individu untuk mendapatkan wang semata-mata kerana ia bukan satu jaminan dalam pembangunan sukan.

"Kepimpinan yang telus juga diperlukan bagi membolehkan Malaysia bangkit," tambahnya.