Skuad ragbi negara akan turun tanpa sebarang tekanan berdepan tuan rumah, Korea Selatan, dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2018 esok sambil menyifatkan sudah belajar banyak perkara daripada dua perlawanan terdahulu.

Jurulatih negara, Lee Nyuk Fah, menjelaskan dua kekalahan sebelum ini tidak melunturkan api perjuangan pemainnya yang masih bertekad mencipta kejutan.

Malah, pengalaman berdepan Korea dan Hong Kong di Kuala Lumpur membuatkan pemainnya kini sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan akan datang.

Skuad negara yang berada di ranking ke-45 dunia sebelum ini tewas 35-10 kepada Korea dan dibelasah Hong Kong 67-8.

Mengenai cuaca, Nyuk Fah mengakui pemainnya sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Incheon setelah berlatih beberapa hari di sana.

"Kami sudah menjangkakan apa yang harus dilakukan. Setakat ini, keadaan cuaca ini agak bagus.

"Saya rasa pemain-pemain akan dapat mengekalkan tempo permainan bagi menundukkan Korea petang esok," ujar Nyuk Fah.