Malaysia bergelut untuk mengekalkan tempat dalam saingan divisyen premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) musim 2020 selepas tewas ketiga-tiga perlawanan setakat ini.

Skuad Bunga Raya bakal menghadapi cabaran timbal balik di laman sendiri menentang juara bertahan, Hong Kong, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini dengan misi meraih kemenangan pertama.

Bahang tekanan semakin terasa dalam kalangan skuad kebangsaan ekoran tidak dapat mengekalkan kapten, K. Dineshwaran, yang perlu kembali ke Jepun atas tuntutan tugasan kelab.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad ragbi negara, Bradley Moni Mika, mahu pasukannya itu menjadikan kehilangan pemain berpengalaman berkenaan sebagai motivasi dalam meningkat mutu permainan.

"Dia sudah lama bersama kami dan perlu kembali ke pangkuan kelab Jepun, Hino Red Dolphins.

"Ia satu kehilangan besar buat kami tetapi kami masih boleh menaruh harapan kepada enam tonggak senior yang lain selain pemain muda," katanya.

Terdahulu, skuad kebangsaan yang berada di ranking ke-48 dunia, gagal menandingi saingan Hong Kong apabila tunduk 24-30.

Begitupun, Mika enggan menjadikan keputusan sengit itu sebagai sandaran semata-mata sambil memberi amaran mereka mungkin berdepan tugas lebih sukar, hujung minggu ini.

"Pemain telah berjuang dan adakalanya kalau terlalu teruja, anda cenderung melakukan sesuatu itu secara berlebihan.

"Mentaliti mereka perlu bebas perkara seperti itu untuk fokus kepada tugasan kali ini," katanya lagi.