MALAYSIA 16 KOREA SELATAN 38

Malaysia memaparkan aksi membanggakan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumbang16-38 di tangan Korea Selatan dalam saingan Divisyen Perdana, Kejohanan Ragbi Asia (ARC), sebentar tadi.


Ia merupakan pertembungan kedua di antara kedua-dua pasukan musim ini selepas Malaysia tewas 14-52 di Incheon minggu lalu.

Korea Selatan terlebih dahulu merekodkan mata hasil try Cha Sung-kun yang disusuli try dan conversion Park Su-ji.

Skuad Bunga Raya, bagaimanapun, enggan berputih mata di laman sendiri apabila jaringan penalti daripada Fairuz Abdul Rahman membangkitkan semangat perjuangan rakan sepasukannya.

Try daripada Hashrafuddin Basir dan conversion yang dilengkapkan Fairuz menawarkan keghairahan luar biasa buat peminat negara.

Bagaimanapun, Korea selatan lebih memanfaatkan penguasaan bola menuju penghujung babak pertama yang ditunjangi Ji-su untuk mendahului 24-13

Fairuz terus memainkan peranan sebagai penyumbang mata utama buat Malaysia hasil penalti sejurus bermulanya babak kedua.

Namun, perjuangan Malaysia dipadamkan dalam 10 minit terakhir perlawanan tatkala pelawat terus mengutip mata demi mata sebelum memutlakkan kemenangan 38-16.

"Kami memberikan saingan dan mencipta peluang tetapi hantaran akhir dan penyudah mengecewakan kami.

"Kami gagal mendapat rentak sementara Korea memanfaatkan peluang yang ada untuk menghukum kami," ujar ketua jurulatih negara, Bradley Moni Mika.

Sementara itu, ketua pasukan negara, K. Dineshwaran, tetap berbangga dengan semangat juang rakan-rakannya.

"Mereka bekerja keras, malangnya keputusan perlawanan ini tidak seperti yang diharapkan.

"Kami menimba pengajaran dalam perlawanan ini untuk perlawanan akan datang," ujarnya.