HONG KONG 30 MALAYSIA 24

Malaysia gagal mengekalkan tempat dalam saingan Liga Premier Ragbi Asia (ARC) bagi musim 2020 selepas kalah tiga perlawanan dalam saingan Liga Premier musim ini.


Biarpun menampilkan persembahan memberangsangkan, skuad Bunga Raya yang menghuni ranking ke-48 dunia, tidak dapat menandingi kehebatan pasukan juara bertahan, Hong Kong, apabila tewas 30-25 di Stadium Bolasepak Hong Kong, sebentar tadi.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi Malaysia turun ke saingan Divisyen 1 musim depan akan dilakukan oleh Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) selepas perlawanan terakhir di antara Hong Kong dan Korea Selatan, 29 Jun ini.

Malaysia akan melengkapkan jadual Liga Premier musim ini dengan menentang Hong Kong dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, 22 Jun ini.

Malaysia memulakan kempen musim ini dengan kekalahan teruk 14-52 kepada Korea Selatan (ranking ke-30 dunia) di Stadium Namdong Asiad di Incheon, Korea Selatan, 18 Mei lalu, diikuti kekalahan 16-38 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, dua minggu kemudian.

Malaysia layak ke Liga Premier pada 2017 selepas menjuarai Divisyen 1 dan tahun lalu menamatkan saingan di tangga tercorot dan kekal dalam Liga Premier musim ini berikutan perubahan format pertandingan.

-- BERNAMA